Saturday, February 14, 2015

MAKI SANG PENYAIR ii

setan apakah
yang menyusup
dalam sedondong sutera
mamak bendahara,
yang dengan amarah
melucut segala busana
mempamer batang sulit
yang hitam dan jelek.

setan apakah
yang bergayut
di selempang biru
sang laksamana,
yang penuh ghairah
menonggeng sejalur lurah
yang busuk
dan penuh darah.

setan apakah
yang menyelinap
dalam jubah hitam
para sang arif
di mahligai keadilan,
yang memekakkan telinga
dan enggan membeda
yang mana lurah
yang mana batang,
yang mana depan
yang mana belakang.

ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
12 Feb 2015

MENGGILAP KEYAKINAN


sekian lama
dia berlarian di sini
di medan kiri
lantaran dia yakin
di sinilah medan
buat sang pejuang.

di sini
saban hari
dia mengumpul asbab
mengapa harus terus di sini
dan tidak menyeberang
ke medan kanan
lantaran di medan kiri jua
kian marak lahar sengketa.

tiba-tiba
hari ini
dengan tragedi ini
dia menjadi lebih pasti
bahawa di medan kanan
terlonggok najis kezaliman
yang busuk
lagi membusukkan.

dan dia bukanlah petualang
yang bersekongkol
dengan kezaliman.

kekadang
tragedi adalah batu asahan
buat menggilap
mutiara keyakinan.

ZIZIE ALI
KUALA TERENGGANU
10 Feb 2015

DI WARUNG YANG BASAH INI

di warung yang basah ini
kami bukan sekadar
menghirup kopi pahit
dan teh tarik
mengunyah nasi lemak
dan nasi minyak.

kami juga menghirup
dan mengunyah
bicara gundah. 

kataku
ini angkara tangan manusia
yang ghairah menghitung laba,
kata dia
Tuhan sedang murka
lantaran syariat sering dipersenda.

ah, biarlah aku diam
dan dia sahaja yang bicara,
biar suaranya bersatu bersama angin
yang baru seketika
membelai derita perbukitan
yang ditarah kapitalis haloba.

lihat, suaranya dibawa angin
melewati bumbung sengsara
sebelum tenggelam
ke kuning samudera.

ZIZIE ALI
1 Januari 2015