Saturday, June 27, 2015

LOLONGAN NGERI

katamu
rumah sudah dibersihkan
parasit sudah dibuang
barua sudah dihumban.


kau seharusnya tenang
dan saban malam
di lena tidurmu
kau dibuai
mimpi syurgawi.


mengapa
dari kamarmu
ku dengar
lolongan ngeri
bagai serigala gila
dari belantara.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
27 Jun 2015

HELAH BERDEKAH

mereka pun berhelah
dan kita mula berbalah.


mereka terus berhelah
dan kitapun berpecah.


kata kita
kita makin gagah,
mereka pun
ketawa berdekah.


kita rela kalah
demi mencari redha Allah.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
21 Jun 2015

MUNGKINKAH

nyanyuknya
bukan nyanyuk biasa
yang tidak tahu membeda
antara nasi kerabu
dengan tahi lembu.


nyanyuknya
nyanyuk orang licik
hingga tiap leternya
ditafsir dan dianalisis,
dikupas yang tersurat
digali yang tersirat,
disusuri di mana asbab
ditelah ke mana impak.


meski sebenarnya
dia hanyalah
sedang menjaja
pekung di dada
yang selama ini
sering dinafi.


atau mungkinkah
segala ini
tanda termakbul
doa yang dizalimi,
yang sedang bermunajat
dalam sunyi
di balik jeriji.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
13 Mei 2015

SUARA DARI PADANG BURUNG

terima kasih
tuan yang dikasihi
kerana telah mengurung
seteru kami
dalam jeriji besi.


kami berhimpun
sore ini
sekadar berpuisi
dan nyanyi nyanyi
buat menghibur hati.


teruskan kezaliman
teruskan penindasan
kami tidak lagi
mahu peduli.


kami pemilik
kunci firdausi
sesudah mempersetan
semangat setiakawan
demi meniti
jambatan mimpi.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
12 Apr 2015