Monday, May 01, 2017

TRANSFORMERS ii

TRANSFORMERS ii
dari atas mimbar
dia melompat
ke dalam parit
lalu bertukar
menjadi seekor itik,
dan sambil menyudu
dedak yang berkeladak
dia mula meratip:
pap pap pap
dap dap dap.

tiba-tiba,
dia bertukar lagi
menjadi ayam jantan
dan terbang
ke puncak tualang.
sejak itu
kala malam
bulan mengambang
akan bersipongan
kokokan sumbang:
kuu kuu kuu
ruu ruu ruu.
lihat,
apa yang bergelumang
di ekornya yang kembang.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
20 April 2017

GELANGGANG iii

GELANGGANG iii
sesudah dua musim
ditangguhnya pencak tari,
kali ini
dengan jubah usang
dia benar-benar melayang
ke tengah gelanggang.
bagai yang diduga
bersama badut setia
pencak tarinya
masih serupa.
dan belum sempat
para lawan menerpa
sang wasit segera
menangguh sayembara.
lalu
sambil bertelanjang
dia terus dijulang.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
6 April 2017

MURKA PUJANGGA TUA

MURKA PUJANGGA TUA
sekian purnama
bayu membelai
wajah pujangga muda
yang galak memukul gong
dan memencak
di gelanggang sendiri
sambil menghitung laba,
dan gelak tawanya
kian ketara
sesudah menghadiahi
kekasih gediknya
kuda tujuh bejana.

namun senja itu
tiba-tiba taufan murka
menghempas muara
lalu bersipongan
suara pujangga tua:
" celakanya kau
duhai pujangga muda
menggoncang gua
singa utara,
tika diriku
sudah parah terluka,
bersegeralah kau
jinakkan kembali
agar aku bisa
terus teguh berdiri"
pujangga muda tersentak
lalu bersama debaran di dada
segera kuda dipacu
membelah belantara
memecut ke utara.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
12 Mac 2017

RAHSIA KAMAR

RAHSIA KAMAR

Malam itu
dilipatnya busana khalifah
bersama sejadah usang
dan ditangguhnya
qiam yang panjang.

Lalu menyelinap
di kegelapan malam
mengintai derita jelata
dari tangga
ke tangga.

Tidak dipedulinya
rahsia kamar
yang esok pagi
bisa diseret para kekasih
untuk dirotan
atau direjam.

ZIZIE ALI
17 Feb 2017

TENANG

TENANG

Mereka bertanya,
benarkah di negeriku
ada bintang
gugur ke bumi.

Kataku,
aku sudah lama
tidak peduli
kerlipan bintang,
sejak penyu
enggan singgah
di Rantau Abang,
dan tasik
muncul
di puncak bukit
di Kuala Berang.

Teman,
ada kalanya
hidup ini
lebih tenang
jika kita sudi
menghirup
hanyir bau ikan
di Kedai Payang.

ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
4 Mei 2016

YANG BERTEBAR

YANG BERTEBAR

sesudah
sirna harum
yang mengghairahkan
yang bertebar hanyalah
keaiban demi keaiban.

tika
sang parasit
galak berpesta
di atas kulit
yang dulunya gebu
di celahan daging
yang dulunya pejal
lalu reput dan musnah
bersebati bersama tanah,
satu demi satu
terbongkar dan terdedah
diiring senyum sinis
dan tawa berdekah.

mari
dengan penuh sedar
kita memetik
kuntuman iktibar.

ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
11 April 2015

KESIPUAN DI PANTAI DALAM

KESIPUAN DI PANTAI DALAM
ada kesipuan
di pantai dalam
di kala bulan
kian temaram
dan maya pun
menyapa dada malam
yang mula mewangi
di kamar ini.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
8 Disember 2016