Tuesday, October 18, 2005

usahlah kerana takut

usahlah kerana takut
ahli bahasa membuang kosa kata
reformasi dan keadilan
dari kamus dewan.

usahlah kerana takut
sasterawan terus berkata
shit bukan karya sastera.

usahlah kerana takut
ulamak lantas bersetuju
nabi tidak mencukur janggut baginda
kerana gillete belum tercipta.

usahlah kerana takut
kita semua terus mengangguk...

ZIZIE ALI
01.02.02

nostalgia pra-sekolah

menurut satu riwayat
ketika usia lima tahun
osama di hantar bapanya
di sebuat taski hulu langat.

ada pula yang mengatakan
dia pernah belajar
di sebuah pasti di kota bharu.

namun yang pasti
laden tidak pernah menghantar anaknya
di mana-mana tadika kemas.

kata seorang guru kelas kemas:
"kalau di hantar ke tadika kemas
osama tak akan jadi pengganas"

ZIZIE ALI
23.01.02

menjunjung titah perintah

menjunjung titah perintah
tuan presiden g.w. bush
yang kini bertakhta di amerika
dan jajahan takluknya
dengan ini diumumkan bahawa
semua sekolah agama di seluruh negara
hendak berhenti beroperasi
serta merta,
suyugia diingatkan bahawa
perintah ini dikeluarkan
kerana dikhuatiri
sekolah-sekolah tersebut
akan menanamkan semangat jihad
yang nantinya akan mengancam amerika
sebagaimana taleban dan al-qaeda,
dan kita sebagai negara sekutu kuat amerika
wajiblah mendahului
dalam segala tindakan.

ZIZIE ALI
Malaysia
22.01.02

Friday, September 09, 2005

malang sang protagonis

mengikut skrip asal
protagonis tidak akan dibunuh
sebagaimana yang diwar-warkan
dia cuma akan disimpan
di sebuah hotel sepuluh bintang.

khabarnya skrip akan diubah
lantaran sutradara makin gelabah
melihat pementasan yang berantakan
malah pelakon kian tersasul
dan audien mula melontar ke pentas
seluar dalam, kondom dan berus tandas.

kata sutradara:
"apa salahnya
membunuh sang protagonis
nyawanya hanyalah sebutir debu
yang melekat di bulu
kemaluanku."

ZIZIE ALI
120102

budak pendek

jangan menghina dia
kerana kependekannya
kerana itu adalah anugerah
Yang Maha Esa.

kalau kau ingin menghina juga
aku ada beberapa rahsia
tentangnya:
....dia adalah
agen yahudi yang terlatih, dia tidak
punya agama, dia amat
memusuhi gerakan islam, dia pakar
konspirasi......
syy, jangan beritahu sesiapa
ini adalah rahsia
kita berdua.

ZIZIE ALI
20.10.01

tetap mati

kalau tidak mati dalam penjara
kita tetap mati juga
mungkin di atas jalan raya
atau di ranjang rumah kita
lantaran diabetis
darah tinggi
dan bermacam lagi.

kalau tidak mati kerana kebuluran
kita tetap mati juga
mungkin kerana berlebihan makan
atau kerana terlalu berpantang.

meski rumah kita tidak dibom amerika
kita tetap mati juga...

ZIZIE ALI
15.10.01

stereotype

cerita bermula dengan pembunuhan misteri
lalu wira yang tidak akan mati dicari
setelah ditemui segera dijelaskan segala misi.

dalam perjalanan mencari penjenayah
sub-plotnya tidaklah terlalu payah:
wira akan bertemu wanita jelita
lalu berfalsafah tentang keamanan dunia
dan mereka pun bertarung
di atas ranjang
hotel tujuh bintang.

sesudah itu kita sudah boleh menelah
wira dapat mengesan penjenayah
yang biasanya berasal dari timur tengah
dan memiliki hati sekejam syaitan
membunuh tanpa belas kasihan.

sesudah penjenayah ditumpaskan
wira kembali bertemu wanita jelita
dan sebelum mereka bertarung lagi
wira membisikkan hasratnya:
"aku punya jutaan dollar
yang akan disumbangkan
kepada negara israel
yang kini sedang berjuang
menentang militan islam".

ZIZIE ALI
14.10.01

berita kematian

aku memang sering gementar
menerima berita kematian
apa lagi jika yang pergi
adalah sahabat seperjuanganku.

hari ini
seorang sahabatku dikhabarkan pergi
setelah sekian lama dipenjara
hanya kerana membaca doa
untuk sebuah solat hajat
dan kemerduan suaranya
melagukan zikir munajat.

sahabat
jika benar kau telah pergi
aku hanya mampu memujuk diri:
kau bagai qutb dan audah
yang membayar dengan darah
demi mengetuk pintu jannah.

ZIZIE ALI
11.10.01

raptai kematian

berita sebuah kematian
sudahpun dirakam
dalam pita paling canggih
oleh pembaca bersuara sedih
dibantu teknisyen paling terlatih.

sementara itu di dataran merdeka
berkali-kali diadakan raptai
beramai-ramai berlatih meratapi
sebuah kematian
pemimpin tersayang!

ZIZIE ALI
04.10.01

istihar

jangan terkejut
jika bush istiharkan amerika negara islam.....
kerana di amerika juga ada masjid
dan ada bank islam
malah di amerika tidak ada i.s.a
kerana i.s.a bercanggah dengah islam
juga ulamak-ulamak besar malaysia
dapat phd di amerika...

ZIZIE ALI
2001

tafsiran americana

dari tafsir ensaiklopedia americana
kita harus berbangga
jika dilabel pengganas
lantaran gelar itu pernah diberi
kepada salahudin al-ayubi.

ZIZIE ALI
26.09.01

bukan orang melayu

bukan orang melayu
yang meletupkan menara itu
kerana orang melayu
amat mencintai kehidupan
dan takut menempuh kematian.

orang melayu hanya bisa
meletupkan jari sendiri
tika hampir idilfitri.

ZIZIE ALI
21.09.01

Tuesday, September 06, 2005

balada seorang pengganas

sesudah melebamkan mata sahabatku
pengganas itu terus sembunyi
bukan di pakistan atau afghanistan
tetapi di kelang.

aku tidak peduli
di mana dia sembunyi
kerana seperti ketuanya juga
dia sedang diburu
oleh dirinya sendiri.

aku tidak akan meletupkan
mana-mana menara negara ini
kerana yang aku mampu
hanyalah menerbangkan
layang-layang dan wau bulan.

ZIZIE ALI
21.09.01

deklarasi pujangga

para pujangga tunduk tafakur
menelan segala duka lara
jauh ke lubuk jiwa.

mereka telah lama mencuba
untuk memaafkan
namun ternyata kezaliman
tiada sempadan.

tiba masa
mereka pasti mengangkat kepala
meninggalkan daratan meditasi
berenang ke laut realiti.

ZIZIE ALI
04.08.01

meritokrasi

tahniah aku ucapkan
kepada semua kaum cina
yang mendiami negara kita yang tercinta
di atas segala kejayaan
setelah berjuang begitu panjang.

meritokrasi
dan menara gading sendiri
yang selama ini bagai mimpi
kini menjadi realiti
apa yang selama ini kalian impikan
tercampak dalam genggaman.

kalian memang bangsa besar
yang tidak mengenal putus asa
yang pintar mengatur strategi
tahu bila perlu berdiplomasi
dan bila harus mengasah seligi.

kalian pintar menyukat
di mana lemah di mana kuat
teman dan lawan
di luar dan di dalam gelanggang.

kami harus banyak belajar dari kalian
bahawa kejayaan
akan bertandang jua
bila tiba masa
yang perlu selautan pengorbanan
dan segunung kesabaran.

tahniah dariku
seorang orang melayu.

ZIZIE ALI
31.07.01

Saturday, September 03, 2005

tidak pernah berperi

ustaz mengajar kami
tentang kezaliman
kerana kezaliman di tentang oleh Islam
namun beliau tidak pernah berperi
tentang mana-mana perdana menteri.

ustaz mengajar kami
tentang pakaian
tentang aurat dan menyembunyi perhiasan
namun beliau tidak pernah berperi
tentang puteri mana-mana parti.

ustaz tidak pernah mengajar kami
untuk membenci sesiapa
yang beliau ajak menentang
hanyalah kemungkaran
kerana kemungkaran dibenci oleh Islam.

ZIZIE ALI
23.07.01

usah ketawa adikku

usahlah kau ketawa adikku
persoalan ini tidak lucu
malah ini adalah satu tragedi
yang amat ngeri.

ah, kau ketawa lagi
katamu:
"mereka menasihati kami
agar tumpukan pada pelajaran
bagaikan kami ini
budak tadika atau taski..."

ZIZIE ALI
16.07.01

ceritera yang kesekiannya

Wa ba'adahu adapun kemudian dari itu telah berkata fakir yang insaf akan lemah keadaan dirinya,dan singkat pengetahuan ilmunya; dan pada satu masa bahawa fakir duduk pada suatu majlis dengan orang besar-besar bersenda gurau. Pada antara itu ada seorang orang besar, terlebih terbilang dan terlebih jenuh matabendanya daripada yang lain. Maka berkata ia kepada fakir, "Hamba dengar YangdiPertuan berbengkak hati dengan Penghulu Bendahari; barang kiranya tuan hamba menulis sebuah kitab buat mencela Penghulu Bendahari, mudah-mudahah besar kurnia Yang diPertuan akan tuan hamba, sebagaiman kitab yang dulu berserta dalil-dalil adanya.."

disusun semula oleh Zizie Ali 8 Julai 2001

buruk kepala

sesudah melantik diri sendiri
sebagai pujangga bestari
dia pun mengistiharkan
seorang ketua lanun
sebagai khalifah Allah di bumi.

di bawah naungan sang khalifah
dia bebas memuja siapa saja
memuji siapa saja.

namun apakan daya
sebanyak manapun dia berfatwa
tidak mampu merubah suasana
siapa yang dia keji
jelata akan simpati
siapa yang dia puja
jelata akan mencela.

di mata rakyat jelata
dia anjing buruk kepala.

ZIZIE ALI
08.07.01

mengenang gamal

sesudah mengutuk amerika
gamal segera menelefon:
"harap tuan sedia faham
bahawa itu semua hanya lakonan
lantaran ikhwan telah memperdaya
ramai rakyat jelata
bahawa tuan amat tercela
dan kami tiada pilihan
selain dari mengutuk tuan
agar kami tidak ditendang
oleh rakyat yang kian berang
dan jika itu terjadi
tentu tuan bersedih hati.

tuanlah sahabat kami
tak akan sekali bertukar ganti."

ZIZIE ALI
06.07.01

terima kasih astora

terima kasih astora
kerana mula membuka
topeng yang membalut muka.

teman-teman yang dulu peminatmu
kini mula ragu
dan mula memberi persetujuan
apa yang pernah aku bayangkan.

teruskan
teruskan usahamu
membuka kerudung wanita melayu
agar terserlah leher dan payu.

suatu masa nanti
mungkin kau akan memfatwakan
kita tidak lagi perlu sembahyang
atau tidak lagi menjadi kesalahan
mendakap isteri orang di malam kelam.

ZIZIE ALI
03.07.01

castro dan pram

bawalah
bawalah siapa saja
namun ia tidak upaya merubah
audien di panggung ini.

kami sudah kenal
watak bulat dan pipih
watak hitam dan putih.

malah kami sudah menduga
siapa akan menang
siapa akan kecundang.

kami sudah buat keputusan
sebelum lampu terpadam
sebelum tirai dlabuhkan.

ZIZIE ALI
malaysia
03.07.01

tabal

buat kesekian kali
kesimpulan segera diberi
sebelum disiasat pak polisi
dan selepas ini
dia akan menjatuhkan hukuman
sebelum mahkamah bersidang.

dia sudah lama menabalkan
dirinya sebagai tuhan.

ZIZIE ALI
02.07.01

bermain api

akhirnya
dia mengajak kita bermain api.

kita memang tidak gemar
dengan permainan ini
kerana ia selalu berakhir
dengan tragedi.

apakah ini permainan terakhir
sebelum dia mati?

ZIZIE ALI
01.07.01

memang mereka mudah lupa

aku terpaksa ketawa
bila perwakilan tepuk gegak gempita
mendengar ketua mereka berkata:
"taatilah saya sebagai ketua
kerana mentaati ketua
adalah syarat utama
buat tiap anggota
dan ia akan mempastikan
kita mencapai kemenangan".

apakah yang bertepuk sudah lupa
bahawa ketua mereka
pernah menderhaka
kepada ketuanya
hingga dia terpaksa disingkir
dan kitabnya terpaksa dipinggir.

yang tidak mudah lupa
hanyalah ketua mereka.

memang mereka mudah lupa
kerana mereka adalah sejenis bangsa
yang tidak sebangsa
dengan sang ketua.

ZIZIE ALI
24.06.01