Tuesday, January 03, 2006

TUAN HASSAN

sudara bertanya tentang tuan hassan
maka, beginilah jawapan ku:
aku pernah menemuinya
beberapa kali
dalam beberapa tamrin
namun aku tidak pernah sempat berta'aruf
jadi, aku mengenalinya
dan dia tidak mengenaliku.

fizikalnya?
tika itu dia agak kurus
berkulit hitam manis
dan yang paling ku ingat
lebam tebal didahinya.

bacaan Qurannya agak baik
sebab itu dia selalu mengimami
jamaah kami.

lantaran tidak pernah bermukholatoh
aku tidak dapat mengukur
sedalam mana sirah, fiqh dan usulnya.

namun waraknya amat ketara
sering mata melekat dilantai
seolah diri dalam fana
dan aku yang happy go lucky
tidak berani menghampir diri.

itulah tuan hassan yang ku kenal
mungkin bukan tuan hassan yang kau tanya.

tuan hassan yang kau tanya
hanya ku kenallewat e-mail dan situs
dan dapat ku simpul begini:
terlalu keras dia kepada sesama pendakwah
menghukum tanpa rasa belas,
terlalu berhikmah dia kepada penguasa
bagai pengantin di malam pertama...

ZIZIE ALI
29.09.02

SYAHID

sesudah beratus kali menganjur formula wahid
dengan kos juta juta juta ringgit
negara masih gagal melahirkan sang juara.

kepala negara amat kecewa
lalu dipanggil para ulama
berkumpul di putra jaya.

setelah bermuzakarah
para ulama pun berfatwa:
"barang siapa yang mati
dalam perlumbaan
yang dianjur oleh kerajaan
maka telah tsabit
matinya mati syahid"

ZIZIE ALI
080302

SANG PERKASA

sang perkasa di ambang ketewasan
akan menjadi teramat kejam.

apakah kekejaman
akan menangguh ketewasan
atau memepercepatkan?

biar masa yang menentukan.

ZIZIE ALI
170202

DIA DAN PATIH KARMA WIJAYA

dia difitnah umpama tuah
namun dia tak bisa menjadi tuah
dia ingin menjadi jebat,
dan bila dia dihalau keluar istana
dia lantas disambut
oleh jutaan jebat.

sedang di dalam istana
tiada siapa yang ingin menjadi tuah
tiada siapa yang ingin menjadi jebat,
mereka lebih rela
menjadi patih karma wijaya.

ZIZIE ALI
050202

Tuesday, October 18, 2005

usahlah kerana takut

usahlah kerana takut
ahli bahasa membuang kosa kata
reformasi dan keadilan
dari kamus dewan.

usahlah kerana takut
sasterawan terus berkata
shit bukan karya sastera.

usahlah kerana takut
ulamak lantas bersetuju
nabi tidak mencukur janggut baginda
kerana gillete belum tercipta.

usahlah kerana takut
kita semua terus mengangguk...

ZIZIE ALI
01.02.02

nostalgia pra-sekolah

menurut satu riwayat
ketika usia lima tahun
osama di hantar bapanya
di sebuat taski hulu langat.

ada pula yang mengatakan
dia pernah belajar
di sebuah pasti di kota bharu.

namun yang pasti
laden tidak pernah menghantar anaknya
di mana-mana tadika kemas.

kata seorang guru kelas kemas:
"kalau di hantar ke tadika kemas
osama tak akan jadi pengganas"

ZIZIE ALI
23.01.02

menjunjung titah perintah

menjunjung titah perintah
tuan presiden g.w. bush
yang kini bertakhta di amerika
dan jajahan takluknya
dengan ini diumumkan bahawa
semua sekolah agama di seluruh negara
hendak berhenti beroperasi
serta merta,
suyugia diingatkan bahawa
perintah ini dikeluarkan
kerana dikhuatiri
sekolah-sekolah tersebut
akan menanamkan semangat jihad
yang nantinya akan mengancam amerika
sebagaimana taleban dan al-qaeda,
dan kita sebagai negara sekutu kuat amerika
wajiblah mendahului
dalam segala tindakan.

ZIZIE ALI
Malaysia
22.01.02