Tuesday, March 11, 2014

LANTARAN WUJUDNYA KEZALIMAN

lantaran wujudnya kezaliman
kita pun berpeluang
meninggalkan kamar teori
berlari ke medan realiti
meninggalkan sang pengecut
bergelumang dlm selimut.

lantaran wujudnya kezaliman
kita kejapkan simpulan ukhuwwah
membuat musuh berhati walang
dihambat bayang ketakutan.

lantaran wujudnya kezaliman
maka wujudlah sang pejuang
yg hanya mendamba diri
mengharap ganjaran ukhrawi.

lantaran wujudnya kezaliman
kita tidak lagi diperdaya
membeza kaca dgn permata.

Zizie Ali
10:38 pm
7 Mac 2014
K.Trg

Monday, March 10, 2014

SERBAN KEMATIAN

abu dujanah menggenggam erat
pedang anugerah
lalu membelit kepala
dengan serban merah
berbisik sahabat-sahabatnya:
          "abu dujanah sudah memakai
          serban kematian.."

habib menggenggam erat

mikrofon
terhangguk-hangguk kepalanya
yg berbelit
serban putih:
           "ya hana na..ya hana na.. ya hana na..
           dzoharoddiinul muayyad.."


Zizie Ali
4 Mac 2014

Saturday, November 16, 2013

SEKULAR ITU

adapun sekular itu
adalah memisahkan agama
dari urusan kehidupan.

kata sekularis
agama adalah urusanmu dgn tuhanmu,
lantaran itu
jgn sesekali mencampur aduk
membawa tuhanmu
mencampuri urusan sesama makhluk.

kata mereka lagi
kalau dibiarkan
akan lahir kelompok manusia
yg menggunakan agama
unt kepentingan diri
atau kepentingan organisasi.

bagi sekularis
agama adalah urusan peribadi
org lain usah peduli.

Zizie Ali
Atas Tol
16 Nov 2013
12:16 pm

Monday, April 15, 2013

BELUM TERLAMBAT


selagi ruh belum berpaut di halkum jasad,
pintu taubat luas terbuka.

andai kepentingan diri bersandar duniawi
dikesampingkan,
atau dicampak ke longkang sejarah,
mata hati akan lebih jernih,
al-haq pasti muncul
mengetuk pintu hati.

ZIZIE ALI
15 APRIL 2013

Saturday, February 09, 2013

MARI BAKAR KELAMBU

kelambu ini kelambu puaka
tersarang di dalamnya jembalang dan mambang.

mari kita bakar
segala mitos segala kurafat
bahawa hanya kelambu ini
bisa melindung umat ini
daripada mimpi ngeri.

ZIZIE ALI
09 FEBRUARI 2013

Thursday, September 06, 2012

MISTERI SANG SAKA

sang saka muncul di tengah kota
menyergah sang jaluran yang sekian lama
diperasap kemian dan cendana
bersama mentera yang entah dari mana
asal usulnya.

sang jaluran tersentak.

sang saka kembali ke gua
dan sebelum pintu gua tertutup
sang saka sudah terlena
membiarkan bersipongannya suara:
"siapa sang saka?"

ZIZIE ALI
6 SEPT 2012

Saturday, July 21, 2012

KATA MAT GAPEN


mereka kepala kita
yang sentiasa betul salurannya
yang sentiasa berada
di jalan yang lurus.

siapalah kita ini
hanya bocah belum mumayyiz
yang belum tahu membeda
antara tahi lembu
dan nasi kerabu.

ZIZIE ALI
21 Ogos 2012
1 Syawal 1433