Monday, May 01, 2017

WARKAH LAUTAN

WARKAH LAUTAN
warkah terakhirmu
terapung di lautan
lalu disambar
rajawali kebenaran
menerbangkannya
ke gunung harapan.
di kemuncak gunung
kami memahat namamu
agar nantinya
anak cucu kami
akan menyaksi
bahawa kekadang
suara kebenaran
bisa bersipongan
sesudah ada jiwa
terbang meninggalkan jasad
di dasar lautan.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
28 Okt 2016

NOMBOR KASORGA

NOMBOR KASORGA
lelaki sinting itu
muncul lagi
di daerah kami.
kali ini
dia bicara soal bukti
yang akan dibawa
untuk kasorga.
tiga
kosong
satu
empat
kosong
dua.
ZIZIE ALI
K.Terengganu
14 Julai 2016

PAKATAN BERTUJUH

PAKATAN BERTUJUH
kami bertujuh
telah sepakat
akan menghunus senjata.
di pagi itu
kau akan saksikan
darah membasah bumi.
tunggulah
akan kami agihkan
daging dan tulang temulang
ke pintu rumahmu.
moga pengorbanan kami
diterima Ilahi.
ZIZIE ALI
13 September 2015

TRANSFORMERS

TRANSFORMERS

khabarnya
dulu dia seorang ulamak
yang warak.
malangnya
dia terkhilaf bermain mentera
hingga terjadilah
dirinya seperti kini.
mulanya
mentera pil kuda
telah menukar dirinya
menjadi seekor zombi
yang asyik berteriak
dengan pakaian koyak rabak.
sesudah itu
mentera kajang berlipat
membuat dia semakin tenat
pakaian sudah dibuang
dan dia bertelanjang.
akhirnya
sesudah mentera baiah taklik
saban malam dia bertempik
dan bau kebusukannya
melakar dan mewarna
ke seluruh buana.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
5 September 2015

LikeShow more reactions
Comm

TERIMA KASIH SANG PEMIJAK

TERIMA KASIH SANG PEMIJAK
pijakan itu
telah menggemparkan
gerombolan penungging punggung
dan
kafilah siku lutut.
maka
gegak gempitalah
segala warga rimba
hinggakan
tiap lurah dan lembah
terpamer lubang kebusukan
dan berceracak
siku dan lutut.
begitulah akhirnya
segala kekuningan kota
dimuktamadkan
dengan satu pijakan.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
2 September 2015

GENCATAN

GENCATAN
kami akan sokong hudud
dengan syarat
kita bergencat senjata.
dalam tempoh ini
kita jangan saling menyerang
malah kita perlu
saling menolong
dan saling menyokong.
dalam tempoh ini
jangan sesekali
tunjuk simpati
kepada musuh kami
yang akan kami hantar
ke dalam jeriji
malah ciptalah segala bukti
agar dia dibenci
dan dicaci.
(shh... juga jangan sesekali
ikut serta
dalam himpunan bersih)
kami akan sokong hudud
jika segala syarat
gencatan senjata ini
tidak dimungkiri.
(shh.. ini gencatan senjata
bukan bermukah dalam gelita)
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
27 Ogos 2015
(Panduan untuk deklamator: Tika menyebut "shh...", letakkan jari telunjuk di bibir yang memuncung. Cadangan: tika deklamasi sajak ini, pakailah baju biru sekejap. Lepas tu tukarlah)

MEREKA YANG KAMI TINGGALKAN

MEREKA YANG KAMI TINGGALKAN
kami tinggalkan
kamar itu
tanpa rasa sedih
lantaran segala kesedihan
telah tertepu
di musim sengketa
tika kami diusir
dan dicerca.
kami tinggalkan
kamar itu
dengan langkah wira
membiarkan mereka
menghantuk kepala
dan kemudian
tertiarap di lantai
ternganga dan terjelir
menjilat ludah berlendir.
ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
19 Julai 2015