Thursday, February 16, 2006

MENUNGGU

apakah kau yang sedang menunggu
sudah melewati musim jemu
hingga mampu mendakap tenang
di ranjang siang malam.

kaukah yang lebih bertuah
mampu menggapai pasrah
menyingkir loba duniawi
sedang kami
masih takhtakannya dihati.

apakah aku harus cemburu
menatap ketenanganmu
ataukah kau yang mencemburuiku
yang tanpa silu
melayan senda isterimu
yang mungkin tidak lagi mampu
menitis air mata
bila ranjang ini
sudah tidak berpenghuni.

ZIZIE ALI
16 FEBRUARI 2006

Sunday, January 29, 2006

YANG TERBALUT

bila balutan terurai
kau pun sembuh
yang tinggal
hanya parut kecil
yang mungkin akan sirna
di suatu masa.

bersyukurlah
yang terbalut itu
hanya kepalamu
bukan seluruh jasadmu.

ZIZIE ALI
29.01.06

Thursday, January 19, 2006

SUKAR DIPULIHKAN

seperti musim-musim yang lalu
dia akhirnya membuka kitab
al maki wal hamun
dan sesudah membaca
dia bertukar menjadi serigala
terjelir-jelir merata ceruk
menjilat segala yang busuk

aku yang sudah masak
tentang derita paranoidnya
yang kian kronik
tiadalah diamuk panik.

dia sukar dipulihkan
dengan peransang dos tinggi
atau sebarang serapah jampi.

ZIZIE ALI
22.10.05

HANYA TUAN HASAN

sesekali menjengah ke sini
terasa sepi,
yang timbul tidak lagi ku kenali
cuma singgah semusim dan berlalu pergi
silih berganti
tiada siapa yang menghalau mereka
lantaran apa-apa angkara
cuma mereka merasakan
di sini bukan aulawiyat
untuk bersarang sepanjang hayat.

yang sentiasa setia
hanyalah tuan hasan
yang tidak pernah tenggelam
namun usahlah kita terlalu heran
cuma dia punya banyak kesempatan
menyelusuri lembah maya
bagaikan itulah saja dunianya
tempat dia menjatuhkan hukuman
kepada sesiapa yang tak berkenan.

oh, tuan hasan
khabarkan kepada mr kane
bahawa sheikh al asygar
adalah hakim tidak muktabar!

ZIZIE ALI
21.10.05

TIADA BERBEDA

dalil-dalil yang dipikul
oleh pujangga durjana
kian hari kian reput
hinggalah sang pujangga
dan dalil-dalilnya
dikambus bersama-sama
dan bersebati bersama-sama.

di atas kuburan
reputan dalil masih bertaburan
lalu dikutip oleh seorang tua
yang entah apa nama
yang entah keturunan apa.

buat si tua itu
debu dalil masih berguna
buat membedak pipi kedutnya
buat melancar kemut sembelitnya.

orang tua itu
patut dimaafkan saja
kerana yang terhambur
dari mulutnya
tidak banyak berbeda
dengan yang tersembur
dari duburnya.

ZIZIE ALI
18.10.05

DAKAPAN RINDU

situasi agak gawat
lensa siar langsung tuntut tafsiran
lalu bagaimana harus kau lakonkan
apakah memada cuma salam biasa?

hanya dakapan rindu
dan titisan air mata
sebagai ikhtiar akhir
untuk tatapan zahir
buat para penafsir.

ZIZIE ALI
03.08.05

Saturday, January 07, 2006

OMBAK

(i)
ada ketikanya
kau begitu lembut
membelai pantai
dan betapa asyiknya
irama deburmu.

ada ketikanya
kau begitu ganas
menghempas segala
dan hanya air mata
mampu bercerita.

(ii)
dan kita pun semakin insaf
bahawa ombak
hanyalah sang makhluk
yang begitu setia
melaksana tugasnya.

ZIZIE ALI
Disember 2004
(tersiar dalam majalah Dewan Sastera Edisi April 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia)