Friday, July 10, 2015

TUJUH



sesudah disirami
dengan air bunga
dari tujuh kuala,
baginda pun bersemayam
di atas singgahsana
tanpa busana.

ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
6 Mei 2015

MERENGUT API



khilafmu
bermain api
di taman puisi.

api
tika di celah jari
bisa amat harmoni
namun
merengutnya
dengan rakus
dan melontarnya
ke hati
bisa bikin tragedi.

ZIZIE ALI
K.Terengganu
1 Mei 2015

Saturday, June 27, 2015

LOLONGAN NGERI

katamu
rumah sudah dibersihkan
parasit sudah dibuang
barua sudah dihumban.


kau seharusnya tenang
dan saban malam
di lena tidurmu
kau dibuai
mimpi syurgawi.


mengapa
dari kamarmu
ku dengar
lolongan ngeri
bagai serigala gila
dari belantara.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
27 Jun 2015

HELAH BERDEKAH

mereka pun berhelah
dan kita mula berbalah.


mereka terus berhelah
dan kitapun berpecah.


kata kita
kita makin gagah,
mereka pun
ketawa berdekah.


kita rela kalah
demi mencari redha Allah.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
21 Jun 2015

MUNGKINKAH

nyanyuknya
bukan nyanyuk biasa
yang tidak tahu membeda
antara nasi kerabu
dengan tahi lembu.


nyanyuknya
nyanyuk orang licik
hingga tiap leternya
ditafsir dan dianalisis,
dikupas yang tersurat
digali yang tersirat,
disusuri di mana asbab
ditelah ke mana impak.


meski sebenarnya
dia hanyalah
sedang menjaja
pekung di dada
yang selama ini
sering dinafi.


atau mungkinkah
segala ini
tanda termakbul
doa yang dizalimi,
yang sedang bermunajat
dalam sunyi
di balik jeriji.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
13 Mei 2015

SUARA DARI PADANG BURUNG

terima kasih
tuan yang dikasihi
kerana telah mengurung
seteru kami
dalam jeriji besi.


kami berhimpun
sore ini
sekadar berpuisi
dan nyanyi nyanyi
buat menghibur hati.


teruskan kezaliman
teruskan penindasan
kami tidak lagi
mahu peduli.


kami pemilik
kunci firdausi
sesudah mempersetan
semangat setiakawan
demi meniti
jambatan mimpi.


ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
12 Apr 2015

Friday, April 03, 2015

DI SEBUAH PELABUHAN

senja itu
seorang nakhoda tua
tanpa busana...

tersandar di jeti
sebuah pelabuhan sepi.

matanya redup
merenung bahtera
di tengah samudera menggila.


bahtera yang pernah membawanya
berjalang di ribuan pelabuhan
kini kehilangan kemudi
dan layarnya pula
kian merobek.


tiba-tiba
nakhoda tua bertempik:
"karam karam karam
kejam kejam kejam
irul irul irul
tuya tuya tuya"


sejak itu
setiap senja
lolongan dan tempikan
nakhoda tua
pasti kedengaran
memecah kesepian.


di dalam bahtera
seorang pujangga
sedang berbicara
dengan nakhoda muda,
kata pujangga:
"nakhoda tua sudah gila,
dia dihantui dosa-dosa
ketika berkuasa"


ZIZIE ALI
3 April 2015

TERSASAR

tika kau dizalimi
mereka galak menjual ukhrawi
yang jauh tersasar...

dari landasan Ilahi.


kononnya,
itulah yang aulawi
pada ketika ini.


tika kau pasrah
di balik jeriji
mereka asyik berpesta
di medan kata,
dan mengusung panji ilusi
sang pemimpi.


lihat,
mereka rela beriring
dengan sang penzalim.


ZIZIE ALI
28 Mac 2015

Saturday, February 14, 2015

MAKI SANG PENYAIR ii

setan apakah
yang menyusup
dalam sedondong sutera
mamak bendahara,
yang dengan amarah
melucut segala busana
mempamer batang sulit
yang hitam dan jelek.

setan apakah
yang bergayut
di selempang biru
sang laksamana,
yang penuh ghairah
menonggeng sejalur lurah
yang busuk
dan penuh darah.

setan apakah
yang menyelinap
dalam jubah hitam
para sang arif
di mahligai keadilan,
yang memekakkan telinga
dan enggan membeda
yang mana lurah
yang mana batang,
yang mana depan
yang mana belakang.

ZIZIE ALI
Kuala Terengganu
12 Feb 2015

MENGGILAP KEYAKINAN


sekian lama
dia berlarian di sini
di medan kiri
lantaran dia yakin
di sinilah medan
buat sang pejuang.

di sini
saban hari
dia mengumpul asbab
mengapa harus terus di sini
dan tidak menyeberang
ke medan kanan
lantaran di medan kiri jua
kian marak lahar sengketa.

tiba-tiba
hari ini
dengan tragedi ini
dia menjadi lebih pasti
bahawa di medan kanan
terlonggok najis kezaliman
yang busuk
lagi membusukkan.

dan dia bukanlah petualang
yang bersekongkol
dengan kezaliman.

kekadang
tragedi adalah batu asahan
buat menggilap
mutiara keyakinan.

ZIZIE ALI
KUALA TERENGGANU
10 Feb 2015

DI WARUNG YANG BASAH INI

di warung yang basah ini
kami bukan sekadar
menghirup kopi pahit
dan teh tarik
mengunyah nasi lemak
dan nasi minyak.

kami juga menghirup
dan mengunyah
bicara gundah. 

kataku
ini angkara tangan manusia
yang ghairah menghitung laba,
kata dia
Tuhan sedang murka
lantaran syariat sering dipersenda.

ah, biarlah aku diam
dan dia sahaja yang bicara,
biar suaranya bersatu bersama angin
yang baru seketika
membelai derita perbukitan
yang ditarah kapitalis haloba.

lihat, suaranya dibawa angin
melewati bumbung sengsara
sebelum tenggelam
ke kuning samudera.

ZIZIE ALI
1 Januari 2015