Wednesday, September 13, 2006

KITA DAN DIA

ternyata
sampai suatu ketika
kita akhirnya seakan ingin memaafkan
segala kekejaman
meski dia enggan memohon maaf
mengaku segala khilaf.

bukan kita mudah lupa
atau kabur dalam menilik neraca
hanya kita ingin meraih peluang
menggapai mutiara kebenaran
meskipun nantinya
kita terpaksa beriringan
dan berpimpin tangan
dengan sang petualang.

kita dan dia
bertolak dari pelabuhan berbeza
dengan hasrat berbeza
namun kini bukanlah ketika
untuk kita
mengkaramkan bahteranya.

ZIZIE ALI
13.09.06

Sunday, June 18, 2006

PERGI 2

tiba di kebunnya
dia membuka segala busana
memperaga sulit miliknya
dan lelaki para pekerja
lebih rela melihat sang ayam
yang sedang berbiang
di pangkal pokok durian.

dia amat kecewa
dan sakit hati
lantaran tiada yang sudi
merogol dirinya.

lalu
dengan pelbagai nama
dia pun meracau-racau
di alam maya.

ZIZIE ALI
18.06.06

Sunday, June 11, 2006

janji kita

kebun ini milik bersama
kita hanya penjaga
buat sementara.

namun usahlah lupa
pada janji kita
bahawa segala pantang
yang sudah aku tentukan
tak akan kau mungkiri
meski apa jua terjadi.

usah cepat lupa daratan
bahawa akulah yang menentukan
dirimu sebagai pengganti
menjaga kebun ini.

"katak seekor jangan kau buang
meski bisingnya mengalahkan kuang
jebat seorang usah kau sentuh
biarkan terpasung di pokok buluh
titian bengkok usah dilurus
apa lagi membuang terus."

ingat
jika kau mungkiri jua
akan ku berak merata-rata
hingga semua orang berkata
bahawa aku sudah gila!

ZIZIE ALI
11.06.06

Wednesday, May 03, 2006

PERGI

semoga
dia benar-benar telah pergi
dan tidak lagi kembali.

andai sesekali
dia datang mengintai
biarlah hatinya turut ceria
seperti kita.

ini hanya permaianan maya
yang kita cipta bersama.

andai permainan ini
membuat kita berduka
segeralah kita kembali
ke alam realiti.

zizie ali
03.05.06

Tuesday, May 02, 2006

BADUT JALANAN

aku sepatutnya tidak ketawa
melihat hari-hari akhirnya
kerana seperti yang dijangka
dia akan meracau
sebelum sasau
dan akhirnya
terus gila.

gilanya itu
akibat gagal menerima hakikat
dirinya bukan lagi di puncak
dan masih merasa diri
paling pintar paling bestari.

kini
tiap tempikan dan raungannya
hanya ditertawa.

sebelum ke makam pahlawan
dia akan ditabalkan
sebagai badut jalanan.

zizie ali
02.05.06

Saturday, April 08, 2006

KANDANGMU

buat sementara waktu
aku akan cuba mengembek
meski di telingamu
nadanya sedikit sumbang.

aku datang dari gunung
cuba menyusur lembah
singgah sebentar
di kandangmu.

ZIZIE ALI
08.04.06

Tuesday, April 04, 2006

MENCAKAR PULAU

sebenarnya pulau ini tiada apa-apa
sehinggalah orang tua itu
tika belum terlalu tua
menggunakan cakarnya
semahu hati.

dia terlalu ingin
dicatatkan namanya
sebagai seorang pembina
sebagai seorang pencipta.

ah, si tua yang malang
masih mahu mengaum
masih mahu mencakar.

dia masih bisa mengaum
meski disambut gelak ketawa
namun dia tak lagi bisa mencakar
apa lagi mencakar pulau.

merenung sebuah pulau
dia menjadi nanar.

zizie ali
04.04.06

Monday, March 20, 2006

CUCI JAMBAN

dari hasil rasuah
dia beli makanan yang enak
dan makanan itulah
yang ditelannya.

dari hasil rasuah
dia bina jamban yang mewah
dan di jamban itulah
dia berak.

katanya
dia tidak perlu dibantu
mencuci jambannya itu.

ZIZIE ALI
20.03.06

Sunday, March 19, 2006

SINGGAH 2

di dalam kantormu yang bersepah
ku kutip haruman ukhuwwah
kerana aku yang singgah
bukan memohon subsidi jamban
atau membawa sebeban borang
buat kau tandatangan.

sewajarnya kita bersembang di kantor saja
tak perlu kau menjamu
para musafir ini
dengan mi kari.

sesudah kami berlalu
kau pun mengunci kantor
dan sepanjang ke pulau destinasi
aku dihambat rasa simpati
membayangkan kau bergegas pulang
setiap petang.

di rumah
isterimu terlentang kaku di kamar
bergulat dengan ahmar.

ZIZIE ALI
17.03.06

Saturday, March 18, 2006

SINGGAH 1

sesudah puluhan tahun
ku singgah lagi
di teratak usang itu.

kali ini
aku yang singgah
adalah aku yang lebih dewasa
yang menilai tidak lagi di lapis muka
yang bertindak lebih waspada.

kamar itu masih seperti dahulu jua
hanya pintunya tidak lagi sentiasa terbuka.

ku kuak pintu:
almari usang masih di situ
dan kitab-kitab tua
masih tersusun rapi
di dalamnya.

di tepi almari itulah
aku pernah menjadi pendengar setia
mengagumi tiap patah yang mengalir
dari suara tuanya.

ku tutup pintu
dan dengan suara paling syahdu
ku hadiahkan al-fatihah
untuknya.

seperti malam-malam sebelumnya
kamar itu tidak lagi berpenghuni
dan aku yang lelah
lena di ruang tamu
tanpa sebarang mimpi.

sebelum subuh
seolah ada sesuatu
mengganggu lenaku
dan ku lihat pintu kamar
terbuka lebar.

ZIZIE ALI
16.03.06

Thursday, February 16, 2006

MENUNGGU

apakah kau yang sedang menunggu
sudah melewati musim jemu
hingga mampu mendakap tenang
di ranjang siang malam.

kaukah yang lebih bertuah
mampu menggapai pasrah
menyingkir loba duniawi
sedang kami
masih takhtakannya dihati.

apakah aku harus cemburu
menatap ketenanganmu
ataukah kau yang mencemburuiku
yang tanpa silu
melayan senda isterimu
yang mungkin tidak lagi mampu
menitis air mata
bila ranjang ini
sudah tidak berpenghuni.

ZIZIE ALI
16 FEBRUARI 2006

Sunday, January 29, 2006

YANG TERBALUT

bila balutan terurai
kau pun sembuh
yang tinggal
hanya parut kecil
yang mungkin akan sirna
di suatu masa.

bersyukurlah
yang terbalut itu
hanya kepalamu
bukan seluruh jasadmu.

ZIZIE ALI
29.01.06

Thursday, January 19, 2006

SUKAR DIPULIHKAN

seperti musim-musim yang lalu
dia akhirnya membuka kitab
al maki wal hamun
dan sesudah membaca
dia bertukar menjadi serigala
terjelir-jelir merata ceruk
menjilat segala yang busuk

aku yang sudah masak
tentang derita paranoidnya
yang kian kronik
tiadalah diamuk panik.

dia sukar dipulihkan
dengan peransang dos tinggi
atau sebarang serapah jampi.

ZIZIE ALI
22.10.05

HANYA TUAN HASAN

sesekali menjengah ke sini
terasa sepi,
yang timbul tidak lagi ku kenali
cuma singgah semusim dan berlalu pergi
silih berganti
tiada siapa yang menghalau mereka
lantaran apa-apa angkara
cuma mereka merasakan
di sini bukan aulawiyat
untuk bersarang sepanjang hayat.

yang sentiasa setia
hanyalah tuan hasan
yang tidak pernah tenggelam
namun usahlah kita terlalu heran
cuma dia punya banyak kesempatan
menyelusuri lembah maya
bagaikan itulah saja dunianya
tempat dia menjatuhkan hukuman
kepada sesiapa yang tak berkenan.

oh, tuan hasan
khabarkan kepada mr kane
bahawa sheikh al asygar
adalah hakim tidak muktabar!

ZIZIE ALI
21.10.05

TIADA BERBEDA

dalil-dalil yang dipikul
oleh pujangga durjana
kian hari kian reput
hinggalah sang pujangga
dan dalil-dalilnya
dikambus bersama-sama
dan bersebati bersama-sama.

di atas kuburan
reputan dalil masih bertaburan
lalu dikutip oleh seorang tua
yang entah apa nama
yang entah keturunan apa.

buat si tua itu
debu dalil masih berguna
buat membedak pipi kedutnya
buat melancar kemut sembelitnya.

orang tua itu
patut dimaafkan saja
kerana yang terhambur
dari mulutnya
tidak banyak berbeda
dengan yang tersembur
dari duburnya.

ZIZIE ALI
18.10.05

DAKAPAN RINDU

situasi agak gawat
lensa siar langsung tuntut tafsiran
lalu bagaimana harus kau lakonkan
apakah memada cuma salam biasa?

hanya dakapan rindu
dan titisan air mata
sebagai ikhtiar akhir
untuk tatapan zahir
buat para penafsir.

ZIZIE ALI
03.08.05

Saturday, January 07, 2006

OMBAK

(i)
ada ketikanya
kau begitu lembut
membelai pantai
dan betapa asyiknya
irama deburmu.

ada ketikanya
kau begitu ganas
menghempas segala
dan hanya air mata
mampu bercerita.

(ii)
dan kita pun semakin insaf
bahawa ombak
hanyalah sang makhluk
yang begitu setia
melaksana tugasnya.

ZIZIE ALI
Disember 2004
(tersiar dalam majalah Dewan Sastera Edisi April 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia)

MENCARI AS SYAFIE

dia mencari as syafie
yang menghias sang suri
dengan jilbab
hitam - tanpa warna
bagai gagak di rimba.

namun yang dia temui
hanya dirinya sendiri
yang menghias putri hadhari
dengan kebaya jarang
bercatwalk dengan rambut mergerbang
bagai merak kayangan.

ZIZIE ALI
250305

API DENDAM

andai nantinya
aku di larang memasuki taman
aku tak akan mabuk kepayang
tidak juga gila bayang
kerana aku punya harga diri
yang tak bisa dilelong
di pasar borong.

aku tak perlu memasang kedot
menukar busana dan nama
demi memperdaya penjaga taman
agar dapat dinyalakan
api dendam
yang akhirnya membakar
hati sendiri.

ZIZIE ALI
Malaysia
07.06.04

TAARUF 3

sekilas ikan di air
tidak ku tahu jantan betina
kerana aku bukan nelayan
bukan juga doktor haiwan.

jadi, apa kepakaranku?
sabarlah dahulu
akan kau tahu
bila tiba waktu.

bila tiba masanya
kita bisa bincang apa saja
kau boleh bertanya
tentang isteriku
dan aku akan bertanya
tentang isteri-isterimu.

ZIZIE ALI
Malaysia
03.06.04

SIRNA

sesudah sirna harum yang mengghairahkan
yang menjelang hanyalah keaiban demi keaiban
dan tika sang parasit sedang berpesta
di atas kulit yang dulunya gebu
di celahan daging yang dulunya pejal
lalu reput dan musnah
bersebati bersama tanah,
satu demi satu terbongkar dan terdedah
bersama senyum sinis dan tawa berdekah
membuat kita semakin mengenal
hakikat jahiliah,
dan yang tinggal
hanyalah tulang temulang
hanyalah kenang-kenangan,
lalu marilah kita memetik
kuntuman iktibar
dengan penuh sedar
bahawa semua yang fana
pasti akan sirna.

ZIZIE ALI
Malaysia
28.05.04

MOHON PENCERAHAN

tak perlu berhati walang
untuk mohon pencerahan
kerana dia sentiasa bersedia
dengan kitab pelbagai jenama.

namun hari ini
aku tersenyum sendiri
menerima khabar muktabar
dari seorang pakar
bahawa sang guru telah mencipta
pelbagai nama
untuk dijadikan peminatnya
yang akan memuji
setinggi gunung fuji
yang akan mempertahankan
jika dia diserang.

senyumku semakin tersimpul
melihat soalan terkumpul.

ZIZIE ALI
21.05.04
Malaysia

SAPU JAMBUL

sapulah di mana jua
asalkan kau bahagia.

kalau tak punya jambul
sapulah di dahi saja
yang penting usah sengketa
dan janganlah jambul punya cerita
kita semua hilang kepala.

ZIZIE ALI
Malaysia
18.05.04

DARI KT KE KB

sepanjang perjalanan
masih ada
dacing dan bulan bersepah
di tepi tong sampah.

ku dongak ke hujung galah
hujungnya telah pecah
menanti rebah.

ah, dulu di tepi sana
ada potret merah disimbah
kini telah diganti
dengan iklan mobil mewah.

ZIZIE ALI
Malaysia
10.05.04

MAULID

tika mereka berarak dan bersepanduk
berselawat dan bergalak
kami dalam perjalanan
mencari jeram.

sesudah asar
sahabat sibuk memasang khemah
sohibah asyik menyusun barang
dan aku asyik bersembang.

sesudah magrib
sebahagian tunggu mendengar tazkirah
sebahagian pergi menjala ikan
dan aku terkial-kial membakar arang.

tika berkatibah
kami memecah sunyi
mendengar rasa hati
topik demi topik demi topik
tasawwur, uslub, politik
bidaah, khurafat, syirik
dan sesekali bernostalgia kembali:
sahabat-sahabat yang dulunya qowi
kini ke mana pergi?

ZIZIE ALI
Malaysia
10.05.04

DEMAM

secangkir pasrah
dan sesudu paracetamol ini
hanyalah ikhtiar kami.

hanya yang maha esa
menentukan takdirNya
apakah kau bisa memanggil ummi
esok pagi.

ZIZIE ALI
Malaysia
08.05.04

MENCARI LATIFAH

mencari kelembutan
dalam suasana penuh kekalutan
bagai mencari sebutir mutiara
di lahar naga.

kita masih jauh
dari mutmainnah
meski minda sarat muatan
lewat kitab dan pengalaman.

apakah mungkin itu semua
sekadar bekalan
mencari maslahat duniawi
lalu sering terlepas pautan
dan terkeluar sempadan
yang telah ditentukan.

ZIZIE ALI
Malaysia
07.05.04

TERTUKAR CHANNEL

sedang bersantai
menonton forum perdana
bertopik siasi pro kontra
tetiba channel tertukar
ahli panel sedang ketawa
mengeteh tarik di awan besar
oop..tertukar lagi
panel sedang mendakap isteri
di awan tinggi.

ZIZIE ALI
05.05.04

LABEL

usahlah kau gelabah
bila dilabel begitu lancang
kerana itu hanya provokasi
sesudah hujah semakin basi
dan kehilangan jati diri.

dia kini bukan seperti dulu
mendukung fikrah di alam nyata
yang mana setiap tindakan
harus terjaga
lantaran selalu dipesankan:
di mana-mana kita berada
kita mewakili harakah
berhati dalam melangkah
berfikir sebelum bertingkah.

lantaran itu usah gelabah
dilabel sebagai qutubiyah
atau lain-lain ...yah!

ZIZIE ALI
Malaysia
05.05.04

REHLAH TABAWIYAH

anak-anakku
bukanlah yang menceriakan baba
kalian menang tanding warna
tapi di sini
baba bisa mengutip kembali
serpihan-serpihan ukhuwwah
yang bertebaran
di landa gerhana.

lihat
mama sedang membenam
segumpal resah
ke dasar jeram
dan menghanyutkan salah tafsir
di deras air.

ZIZIE ALI
Taman Pertanian Sekayu
02.05.04

BIUS

katanya kau telah terbius
dengan pelbagai bidaah
melihat khurafat bagai ibadah
mengkelabu asapkan istilah hasanah.

aku juga seperti dia
lebih mengenal qardawi
dari al-arabi
lebih menggemari al-banna
dari albanni.

namun dari segi gaya
antara kau dan dia
aku lebih terpesona
dengan gayamu
yang tanpa jemu
membeli dan menjual hujah
tanpa bengkeng dan pongah.

ZIZIE ALI
03.05.04

ANTARA MEMALI DAN YALA

bush cukup mengerti
walaupun lewat kitab kuning
umat ini bisa gagah berdiri
dan sheikh daud fatani
adalah segagah said nursi
suatu hari nanti.

bagai air mata memali
kita menjadi saksi
bahawa hati kebinatangan
mampu meledak mersiu
ke dada dan kepala
yang sedang khusyuk menekun
zaadul maad dan al umm.

ZIZIE ALI
Malaysia
01.05.04

TAWA SANG DA'I

tawanya itu
tidaklah jauh berbeda
dengan sang hooker
yang melihat peter pan
terbenam di dasar samudera.

semoga itu semua
hanyalah permainan maya
sesudah langkahnya
di alam nyata
semakin semakin tempang
dibelengu fikrah songsang.

dengan hooknya yang tajam
dia mengetuk papan kekunci
dan sesekali
dia ketawa
pada diri sendiri.

ZIZIE ALI
Malaysia
30.04.04

JAWAB YA ATAU TIDAK

maaflah
jika sahabatku ini
semakin kurang bestari.

bila terdesak
dia mula mengasakmu
agar memberi jawapan
ya atau tidak
sehingga meminggirkan
adab dan sopan
dalam perdebatan.

dia meletak diri sendiri
terlalu tinggi
dan memandang pihak lawan
bagai sang banduan
lalu tanpa disedari
mencampak budi pekerti
ke telapak kaki.

ZIZIE ALI
malaysia
26.04.04

PEMBAKAR JAMBATAN DAN AKAR BUDAYA

sesudah menyeberang
jambatan yang tidak pernah dibakarnya
dia menjilat kembali
ludah meluatnya
akan hukum yang pincang
sebagaimana yang pernah dia tesiskan.

hari ini dia bernostalgia
betapa zaman remajanya
dia bisa bercengkerama di bawah purnama
tanpa gangguan sesiapa
dan dengan kuasa yang ada
dia juga ingin kembalikan
pesta dansa
yang katanya
adalah sebahagian dari budaya
lelaki yang tidak harus punya janggut
dan perempuan yang berkebaya ketat
dengan alur dada tersembul hebat.

aku hanya ingin melihat
dia kembali bertanjak dan menyisip keris
sebagai qudwah yang nyata
kembali ke akar budaya.

ZIZIE ALI
Malaysia
18.04.04

PENING KEPALA

andai kau pening kepala
membaca puisiku
aku tidak menyalahkanmu
tapi bukan juga salahku.

aku menulis puisi
bukan untuk memeningkan sesiapa
tapi inilah caraku
melontar yang tercambah di minda
atau terbekam di kalbu.

terimalah aku
tanpa rasa cemburu.

ZIZIE ALI
15.04.04

SAHABAT LAMA

bosan menunggu penerbangan
dihiburkan dengan pertemuan
seorang sahabat lama
yang entah bila
kali terakhir bersua.

meski kami tidak lagi bicara
tentang noktah bidayah
atau uzlah syu'uriah tammah
namun dia masih ramah
mendedah jahiliah
dan kebejatan pemerintah.

sebelum berpisah
aku sempat berlawak bodoh
dengan isterinya yang ranggi
aduh, fesyen tudung 'tetek sebelah'
bibir pula ultra merah.

ZIZIE ALI
11.04.04

TERUS BERCINTA

pesta telah berlalu
malam kembali kelam
bulan berselindung di balik awan
hantu-hantu berkeliaran.

kekasih,
kita harus terus bercinta
kerna bercanda di bawah rembulan
hanya semusim cuma
dari percintaan kita yang lama.

ZIZIE ALI
26.03.04

ANTARA DUA ZIR

hidung hidung hidung
mereka mereka mereka
berbeda berbeda berbeda.

perangai perangai perangai
mereka mereka mereka
serupa serupa serupa.

ZIZIE ALI
malaysia
15.06.03

Tuesday, January 03, 2006

DI DEPAN RENDRA

kali ini
audienmu bukanlah peminat puisi
namun mereka hadir
kerana kau memikul kebenaran
kerana kau menjulang kemanusiaan.

mereka adalah sahabatmu
yang merasa pedih melihat kezaliman
yang merasa sedih menatap kepalsuan
dan mereka adalah manusia pintar
yang tidak mudah dikeliru
oleh sebarang sandiwara
di pentas durjana.

ZIZIE ALI
11.10.02

DIA, PUTERI DAN DOT DOT DOT

dia menawarkan diri
untuk menjadi kepala
kepada segala puteri.

setelah kecundang
dia lantas ditabalkan
sebagai kepala segala jalang.

ZIZIE ALI
01.10.02

TUAN HASSAN

sudara bertanya tentang tuan hassan
maka, beginilah jawapan ku:
aku pernah menemuinya
beberapa kali
dalam beberapa tamrin
namun aku tidak pernah sempat berta'aruf
jadi, aku mengenalinya
dan dia tidak mengenaliku.

fizikalnya?
tika itu dia agak kurus
berkulit hitam manis
dan yang paling ku ingat
lebam tebal didahinya.

bacaan Qurannya agak baik
sebab itu dia selalu mengimami
jamaah kami.

lantaran tidak pernah bermukholatoh
aku tidak dapat mengukur
sedalam mana sirah, fiqh dan usulnya.

namun waraknya amat ketara
sering mata melekat dilantai
seolah diri dalam fana
dan aku yang happy go lucky
tidak berani menghampir diri.

itulah tuan hassan yang ku kenal
mungkin bukan tuan hassan yang kau tanya.

tuan hassan yang kau tanya
hanya ku kenallewat e-mail dan situs
dan dapat ku simpul begini:
terlalu keras dia kepada sesama pendakwah
menghukum tanpa rasa belas,
terlalu berhikmah dia kepada penguasa
bagai pengantin di malam pertama...

ZIZIE ALI
29.09.02

SYAHID

sesudah beratus kali menganjur formula wahid
dengan kos juta juta juta ringgit
negara masih gagal melahirkan sang juara.

kepala negara amat kecewa
lalu dipanggil para ulama
berkumpul di putra jaya.

setelah bermuzakarah
para ulama pun berfatwa:
"barang siapa yang mati
dalam perlumbaan
yang dianjur oleh kerajaan
maka telah tsabit
matinya mati syahid"

ZIZIE ALI
080302

SANG PERKASA

sang perkasa di ambang ketewasan
akan menjadi teramat kejam.

apakah kekejaman
akan menangguh ketewasan
atau memepercepatkan?

biar masa yang menentukan.

ZIZIE ALI
170202

DIA DAN PATIH KARMA WIJAYA

dia difitnah umpama tuah
namun dia tak bisa menjadi tuah
dia ingin menjadi jebat,
dan bila dia dihalau keluar istana
dia lantas disambut
oleh jutaan jebat.

sedang di dalam istana
tiada siapa yang ingin menjadi tuah
tiada siapa yang ingin menjadi jebat,
mereka lebih rela
menjadi patih karma wijaya.

ZIZIE ALI
050202